Saturday, July 9, 2011

andai esok hari aku


Ya, andai esok hari matiku. Sebaris ayat yang mungkin begitu menakutkan bagi setiap insan. Aku juga tergolong dalam insan-insan tersebut. Sesungguhnya aku manusia lemah penuh noda dan dosa. Demi Allah aku tidak mahu meninggalkan dunia ini dalam keadaan sedemikian rupa. Aku tidak mahu meninggalkan insan-insan yang aku amat cintai sebagai aku bernama insan yang penuh dosa.  

Jika hari ini adalah hari terakhir aku bernafas di atas muka bumi ini, aku mahukan pada saat terakhir aku menghembuskan nafas, maka terdetiklah meski sedikitpun bisikan bahawa aku bisa menjadi salah seorang penghuni syurga. Ya, sesungguhnya aku terlalu hina untuk meminta-minta sesuatu yang begitu agung dan sebesar-besar permintaan bagi seorang insan.

Jika hari ini aku bakal menutup mata buat selamanya, maka pejamkanlah aku sebagai insan yang sudah memenuhi tanggungjawab sebagai seorang hamba, seorang anak,  seorang sahabat, seorang saudara juga seorang Muslim. Meskipun aku sedar masih terlalu banyak ruang-ruang kosong yang aku masih tidak sempat untuk mengisinya. Sesungguhnya itu semua adalah perkara yang cukup aku sesalkan dalam hidup ini. Hidup yang disangkakan panjang, tetapi kenyataan adalah sebaliknya.

Jika ini merupakan hasil tulisan terakhir aku, sesungguhnya aku mengharapkan hasilnya adalah yang terbaik daripadaku. Aku bukan sasterawan ulung untuk menghasilkan bait-bait kata yang indah, aku bukan juga ulama’ agung untuk membuahkan dalil-dalil al-Quran yang suci. Tetapi ketahuilah bahawa setiap kebaikan yang aku tuturkan dan coretkan adalah sesuatu yang ikhlas datang dari suatu ruang keikhlasan dalam jiwa manusia aku yang juga sesungguhnya diilhamkan oleh Sang Pencipta.   

Jika detik ini merupakan detik terakhir buat aku, sesungguhnya tiada lagi selayaknya yang aku pinta selain daripada kemaafan. Aku cuma insan biasa yang sememangnya tidak lari daripada salah dan silap. Kerana aku sedar waktu itu sentiasa berputar. Siapa juga tahu mungkin panah kematian pada roda kehidupan berhenti ke arah aku. Dan di saat itu kematianlah yang bakal menjemput aku. suatu fasa abadi yang begitu pasti buat semua. Persoalan yang membezakan adalah “bila”. Who knows, tomorrow could be my day. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment