Monday, December 19, 2011

Kerana cinta itu indah?


Cinta. Satu kalimah mudah yang sering terbaca dan tertancap pada pandangan mata kasar kita. Begitu mudah untuk diungkap namun tak semua mengerti makna sebenar secara mutual.

Cinta. Sesuatu yang begitu klise dan prosaik untuk dikisahkan. Sehingga mampu memualkan rasa, menggelikan deria pendengaran kita. Namun, cerita inilah yang sering diomongkan manusia.

Cinta. Entiti yang punya begitu banyak tafsiran dan pemahaman yang berbeza-beza bagi setiap manusia. Cinta pada Tuhan, cinta pada rasul, cinta pada keluarga, cinta pada diri sendiri, cinta pada pasangan hidup, cinta pada sahabat dan bermacam-macam jenis lagi. Tak perlu diungkap satu persatu kerana kita semua cukup tahu cinta bagaimana yang telah kita rasa, sedang kita rasa dan bakal kita rasa.

Namun, sejauh mana cinta yang dikendong dan diusung ini dibawa? Di mana letak duduknya erti sebuah cinta dalam hidup kita? Bagaimana kita menghargai sebuah cinta yang telah kita semai sehingga mula memucukkan daun-daun rasa yang bermacam-macam dan berbeza-beza rupanya?

Sebut sahaja cinta. Semudah a,b,c atau semudah 1,2,3 kita membaca dan menghitung. Manusia sewenang-wenangnya melontar dan menyebut kalimah agung ini sesuka rasa mereka. Persoalannya adakah kita benar-benar bersedia dalam menghadapi segala cubaan dan halangan yang pasti mendatang ketika kita mengemudi sebuah enititi yang cukup abstrak untuk difahami minda?

Entri ini telah lama tertulis. Cuma hati tak pernah berani untuk dibiarkan menjadi tontonan umum. Hari ini, aku paparkan pada laman usang yang entahkan berpengunjung ataupun tidak. Tak apa, sekadar meluahkan rasa. Tapi kenapa hari ini? Kerana aku baru punya kata-kata yang aku kira sesuai untuk mengakhirkan entri yang ini. Dan sambungan bawah ini adalah pengakhirannya.

Sebelum menjebakkan diri, fikir sedalam-dalamya. Adakah diri sudah cukup bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan mendatang? Ketahuilah bahawa cinta tak selalunya seindah yang diimpikan. Oleh itu, belajarlah bagaimana untuk berpasrah dan bertabah. Kelak, bila saat itu tiba kau akan tahu betapa suka dan dukanya rasa itu. Aku sudah merasa. Mungkin kalian seterusnya. Tapi sentiasalah berpegang bahawa tak semua orang punya cerita yang sama. Salam.

Disember

Bismillahirrahmanirrahim. 

Disember. Salah satu bulan dalam kalender Cina. Dalam bulan ini juga aku tergerak untuk beritahu bahawa blog ini masih hidup.Aku kirimkan entri yang baru. Setelah sekian lama. Blog ini masih hidup. Sekian sahaja untuk entri kali ini. Salam.