Monday, December 31, 2012

2013 bakal menjengah masuk

Bismillahirrahmanirrahim..

Kurang dari beberapa jam sahaja lagi 2012 bakal meninggalkan kita buat selama-lamanya. Aku pasti setiap orang ada cerita suka dan duka yang memberi seribu makna dalam hidup mereka. Begitu juga aku, tidak terbilang dengan jari jemari ini kalau hendak disenaraikan segala apa yang telah berlaku sepanjang satu tahun ini. Namun, antara perkara yang paling aku kesalkan adalah meninggalkan blog ini begitu usang selama lebih kurang satu tahun tanpa sebarang entri pada hal kalau nak diikutkan begitu banyak sekali kisah yang aku kira begitu bermanfaat untuk aku kongsikan. Tapi apakan daya, masa itu mustahil untuk diulang kembali. 

Ada yang meramalkan 2012 merupakan tahun di mana berakhirnya sebuah tamadun manusia buat selama-lamanya. Begitulah yang diramal oleh kaum Mayan, tahun terakhir dalam kalendar mereka adalah 2012. Namun semua ini adalah percaturan Allah s.w.t. Dia lebih mengetahui setiap sesuatu dan segala yang berlaku adalah atas kehendakNya semata-mata. 

Jika bagi sesetengah manusia 2012 merupakan tahun yang celaka bagi mereka, namun bagi aku sebaliknya. Tahun ini merupakan tahun yang begitu hebat di mana pencarian dan eksplorasi hidup aku semakin tidak berpenghujung. Begitu banyak sekali peristiwa yang aku lalui di mana terciptanya sebuah perjalanan hidup yang begitu mematangkan aku. Ada tawa dan tangis menghiasi setiap liku dan persimpangan perjalanan ini. Walau bagaimanapun aku tetap bahagia dan puas apabila tiba di penghujung destinasi yang bernama 2012 ini. Buat mereka yang telah hadir dalam hidup aku sepanjang perjalanan ini, jutaan terima kasih kerana telah menemani aku dalam mengharungi segala ranjau dan dugaan hidup. Anda semua adalah tunjang kekuatanku! 

Setiap apa yang berlaku, akan aku simpan sebaik mungkin agar dapat aku jadikan pedoman di masa akan datang. Aku tak akan berhenti menyahut cabaran demi cabaran malah akan semakin berani untuk cuba tampil ke hadapan. Semoga pengalaman yang aku kumpul sebelum ini mampu menjadi pembimbing dan perisai bagi aku meneruskan perjalanan yang masih lagi panjang di hadapan sana. Langkah ini tak akan terhenti di sini. 2013, nantikan kedatangan aku. Mudah-mudahan kau akan menjadi satu destinasi pengembaraan yang hebat untuk aku lalui nanti! 

sadaqallahulazim.. 


antara aktiviti penutup 2012


Wednesday, December 26, 2012

Selepas setahun tujuh hari

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Assalamualaikum w.b.t.

26 Disember 2012 maka genaplah setahun tujuh hari blog ini dibiarkan tanpa sebarang entri. Juga tanpa sebarang sebab yang pasti, aku sendiri pun tak tahu kenapa tak ada langsung nafsu untuk mengemas kini laman yang aku kira cukup usang bukan kerana faktor usia tapi atas sebab terbiar tidak terjaga. Dan pagi ini (9.39 pagi) tiba-tiba aku tergerak untuk mentintakan sesuatu mungkin sebagai satu permulaan untuk kembali aktif menulis blog. 

Hendak dijadikan cerita, sehari selepas ulang tahun kematian sementara blog ini aku menerima hadiah yang aku kira cukup istimewa daripada seorang hamba Allah. Sebuah buku hasil penulisan seorang lelaki yang sudah pun meninggal dunia. Sebab apa aku diberi hadiah tersebut? Akan aku ceritakan dalam entri-entri yang akan datang (kalau masih bernafsu untuk menulis). Buku tersebut juga diberi sebagai "wake up call" untuk aku kembali menulis blog yang sudah setahun lebih tersadai. 

Pada awalnya aku masih berkira-kira untuk mengemas kini blog ini meskipun aku sudah habis membaca buku yang cukup memberi inspirasi dalam masa kurang dari 3 hari. Risau sekadar hangat-hangat tahi ayam. Namun hari ini aku beranikan diri juga untuk membuat "sesuatu" pada blog ini. Nah, inilah hasilnya. Hendak aku kongsikan juga intipati buku tersebut di laman ini tetapi mungkin pada entri yang akan datang. 

Buat sementara waktu ini, entri ringkas ini sahaja yang boleh aku kongsikan walaupun aku sendiri tidak pasti sama ada blog ini masih berpengunjung ataupun tidak. Tak banyak masa yang boleh aku luangkan untuk lebih banyak entri kerana aku perlu meluangkan masa pada nota-nota demi menjawab peperiksaan akhir semester aku di tahun tiga akhir ini. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan. 

Sebelum beransur, ingin aku kongsikan kata-kata seorang hamba Allah yang sama:

"cherish every moment while you are in the university because in the end, it is those moments that you are going to miss the most after you have left." 

Jadi, buat masa ini aku berhutang dua entri yang bakal aku kemas kini kelak. Harapnya aku akan melangsaikannya secepat mungkin. Salam. 

Hikmah yang Tersirat - ketukan untuk kembali menulis