Wednesday, December 26, 2012

Selepas setahun tujuh hari

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Assalamualaikum w.b.t.

26 Disember 2012 maka genaplah setahun tujuh hari blog ini dibiarkan tanpa sebarang entri. Juga tanpa sebarang sebab yang pasti, aku sendiri pun tak tahu kenapa tak ada langsung nafsu untuk mengemas kini laman yang aku kira cukup usang bukan kerana faktor usia tapi atas sebab terbiar tidak terjaga. Dan pagi ini (9.39 pagi) tiba-tiba aku tergerak untuk mentintakan sesuatu mungkin sebagai satu permulaan untuk kembali aktif menulis blog. 

Hendak dijadikan cerita, sehari selepas ulang tahun kematian sementara blog ini aku menerima hadiah yang aku kira cukup istimewa daripada seorang hamba Allah. Sebuah buku hasil penulisan seorang lelaki yang sudah pun meninggal dunia. Sebab apa aku diberi hadiah tersebut? Akan aku ceritakan dalam entri-entri yang akan datang (kalau masih bernafsu untuk menulis). Buku tersebut juga diberi sebagai "wake up call" untuk aku kembali menulis blog yang sudah setahun lebih tersadai. 

Pada awalnya aku masih berkira-kira untuk mengemas kini blog ini meskipun aku sudah habis membaca buku yang cukup memberi inspirasi dalam masa kurang dari 3 hari. Risau sekadar hangat-hangat tahi ayam. Namun hari ini aku beranikan diri juga untuk membuat "sesuatu" pada blog ini. Nah, inilah hasilnya. Hendak aku kongsikan juga intipati buku tersebut di laman ini tetapi mungkin pada entri yang akan datang. 

Buat sementara waktu ini, entri ringkas ini sahaja yang boleh aku kongsikan walaupun aku sendiri tidak pasti sama ada blog ini masih berpengunjung ataupun tidak. Tak banyak masa yang boleh aku luangkan untuk lebih banyak entri kerana aku perlu meluangkan masa pada nota-nota demi menjawab peperiksaan akhir semester aku di tahun tiga akhir ini. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan. 

Sebelum beransur, ingin aku kongsikan kata-kata seorang hamba Allah yang sama:

"cherish every moment while you are in the university because in the end, it is those moments that you are going to miss the most after you have left." 

Jadi, buat masa ini aku berhutang dua entri yang bakal aku kemas kini kelak. Harapnya aku akan melangsaikannya secepat mungkin. Salam. 

Hikmah yang Tersirat - ketukan untuk kembali menulis


1 comment: