Sunday, February 3, 2013

antara tiga

Bismillahirrahmanirrahim..

Atas faktor kekangan masa (sebetulnya aku yang tak reti nak mencari masa mengemaskini blog) blog ini sedikit lambat untuk dikemaskini. Alhamdulillah pagi ini jam 7.35 pagi aku sempatkan diri untuk berbuat demikian. Entri kali ini lebih kepada untuk berkongsi perasaan dan pengalaman aku melibatkan diri dalam persembahan kebudayaan minggu taaruf (minggu orientasi) di UIAM. Sebenarnya hampir setiap semester sejak dua tahun yang lepas kalau tak silap, aku telah melibatkan diri dalam persembahan seumpama ini. Persembahan yang bertujuan memperkenalkan kumpulan kebudayaan UIAM kepada para pelajar yang baru masuk ke kampus utama ini memberi peluang kepada para pelajar daripada kelab-kelab kebudayaan di bawah naungan pusat kebudayaan UIAM melakukan persembahan. 

Namun, tahun ini sedikit berbeza bagi aku. Jika sem-sem lepas aku sekadar menjadi pengacara majlis atau berpantun atau membuat sketsa pendek, tahun ini aku melakukan tiga perkara serentak. Mengacara majlis, menari zapin dan menyanyi! Sememangnya peluang seperti ini jarang sekali muncul dalam hidup aku. Bahkan tak pernah sekalipun aku mengimpikannya. Walaupun pada asalnya aku ingin menarik diri atas faktor tertentu, namun aku akhirnya meneruskan juga atas dasar menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang aku sangat sayangi. Terima kasih anda-anda semua. Tanpa kalian, aku tak mungkin meneruskannya. Persembahan aku pada malam itu khususnya tarian zapin dan nyanyian tidaklah begitu memuaskan namun aku telah cuba sebaik mungkin. Apa pun yang berlaku tetap telah berlaku. Pengalaman yang paling aku hargai. 

Insyaallah, andai ada lagi peluang yang datang akan aku perbaiki segala kelemahan yang ada. Buat semua yang terlibat membantu aku secara langsung atau tidak langsung khususnya tuan jurulatih, jutaan terima kasih aku ucapkan. Moga Tuhan membalas jasa kalian. Sekian dahulu untuk entri kali ini. 

wassalam.. 

Monday, January 14, 2013

Bismillahirrahmanirrhim..

Apalah daya seorang insan untuk menolak takdir. Bila kita harus memilih antara dua, hakikat itu sungguh menyakitkan. Kadang kala kita terpaksa membuat keputusan yang kita sendiri tidak suka. Namun, itulah yang terbaik di antara pilihan yang ada. Perasaan hati sendiri juga kadang kala perlu dikorbankan demi kebaikan semua. Sentiasa yakin diri bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah tersembunyi. Mungkin hari ini pandangan kita kabur untuk mentafsir hikmah tersebut namun suatu hari nanti pasti kita akan mengerti mengapa kita diuji sedemikian rupa. Mudah-mudahan kita sentiasa diberi bimbingan dalam menentukan yang terbaik dalam hidup kita. Insyaallah.

p/s: entri ini tiada kena mengena dengan entri yang sebelumnya. sekadar luahan perasaan.

wassalam..




himpunan FRIM 2013

Bismillahirrahmanirrahim..

Semalam, 13 Disember 2013 merupakan salah satu hari yang cukup membahagiakan. Apalah yang lebih bermakna daripada menghabiskan masa bersama teman-teman yang sering menjadi penawar kepada kedukaan. Menghabiskan masa selama lebih daripada 10 jam, dari pagi ke lewat petang sememangnya rutin yang cukup meletihkan. Namun, keletihan itu didominasi oleh perasaan gembira apabila setiap minit yang berlalu tak lekang dengan gelak tawa dan gurau senda daripada mereka. Aku bersama dengan tujuh lagi teman-teman seperjuangan seni memulakan perjalanan lebih kurang seawal 8 pagi untuk beriadah di FRIM, Kepong. Sebelum menuju ke sana kami singgah sebentar di Pasaraya NSK, Selayang membeli sedikit bahan mentah dan makanan ringan untuk dijamu semasa berkelah nanti. Setibanya di FRIM kami memulakan perjalanan merentas hutan dengan cuaca yang sedikit mendung di mana hujan renyai baru sahaja berhenti. Keindahan flora dan fauna menjadi saksi perjalanan yang aku kira mudah namun menyeronokkan. Dari satu checkpoint ke satu checkpoint kemudian tiba di jambatan gantung atau Canopy Walk, kami sempat menyaksikan dan merakam pemandangan indah dari aras yang lebih tinggi. Perjalanan diteruskan sehinggalah kami tiba di checkpoint yang terakhir. Seterusnya kami mendapatkan tempat untuk berkelah sambil bermandi manda. Keseronokan yang tak terkata melihat telatah lucu masing-masing termasuk aku. Kami bermandi manda dan menjamu selera sebelum meneruskan perjalanan untuk aktiviti seterusnya.

Kami menuju ke bandar Kepong untuk bermain bowling. Usai solat zohor kami membahagikan kepada dua kumpulan di mana kedua-dua kumpulan ini akan berentap antara satu sama lain. Perlawanan sebanyak dua pusingan menyaksikan kumpulan aku yang pada awalnya kalah di pusingan pertama akhirnya berjaya mendominasi pertandingan di pusingan kedua apabila berjaya memungut mata yang lebih banyak sekaligus mengalahkan kumpulan lagi satu secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun bukanlah kemenangan yang menjadi fokus utama namun keriangan yang dikongsi bersama jauh lebih bermakna bagi kami semua. Orang kata kalah dan menang adalah adat pertandingan. Setelah selesai mendirikan solat asar, kami meneruskan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing. 

Secara kesuluruhannya, semalam merupakan detik yang cukup indah bagi kami semua terutamanya aku. Meskipun masih dikira baru dalam keluarga tersebut, aku seakan begitu serasi dan mudah untuk bergaul dengan mereka. Sifat tidak berkira yang ada pada mereka membuatkan aku begitu senang sekali berada di samping mereka. Terima kasih Tuhan kerana memberi aku peluang untuk bersua dengan insan-insan hebat ini. Sesungguhnya Engkau limpahkanlah rahmat yang tidak terhingga buat mereka semua. Mudah-mudahan silaturrahim yang terjalin ini akan terus subur dan mekar mewangi semerbak haruman syurga. Insyaallah. =')

wassalam..