Saturday, July 12, 2014

Sebulan satu hari

Bismillah..

Berakhirnya sebuah penantian.

Ramai yang merajuk bila mana aku tak kongsikan kisah tamatnya sebuah pencarian dan penantian. Sengaja. Tak ada apa yang hebat untuk aku khabarkan apabila aku sudah pun menamatkan zaman pengangguran lebih kurang 2 bulan 10 hari. Suatu jangka masa yang cukup panjang bagi aku. Benarlah kata orang penantian suatu penyeksaan. Tuhan je yang Maha Tahu betapa aku menanti dan terus menanti sebuah jawapan. Dan pada tanggal 11 Jun 2014 yang lalu aku memulakan perjalanan hidup aku dengan kerjaya yang baru. Ditawarkan jawatan sebagai management trainee di sebuah syarikat swasta ini bukanlah sesuatu yang pernah aku fikirkan sepanjang aku memasan-masang angan-angan kerjaya ketika menuntut dahulu. Namun aku yakin, semua yang terjadi pastinya ada hikmah. Terima dengan hati terbuka, harapkan yang terbaik.

Ulangtahun.

Hari ini, sedar tak sedar genaplah satu bulan dan satu hari berlangsungnya perjalanan aku sebagai seorang pekerja yang makan gaji demi tuntutan yang perlu dipenuhi. Sungguh, tak mudah untuk memulakan perjalanan ini. Jika penyiksaan penantian sudah berakhir, kini satu proses yang tak kurang hebat peritya harus aku lalui. ditempatkan di cawangan yang agak jauh dari rumah keluarga memaksa aku untuk menyewa. Apakan daya, inilah cabarannya. Pelaburan yang besar perlu dilakukan di awal-awal perjalanan ini. Banyak perkara yang perlu difikirkan terutama yang melibatkan kewangan. Namun, digagahkan juga secara perlahan-lahan merangka setiap inci percancangan bagi melewati waktu yang mendatang. Pendek kata, perlu bijak berbelanja.

Ramadhan.

Bulan Ramadhan ini sememangnya bulan yang penuh dugaan. Lepas satu persatu ujian mendatang. Terbaru, emak dimasukkan ke hospital akibat denggi. Maka berulang aliklah aku dari Seri Kembangan ke Klang. Alhamdulillah, kesihatannya kembali pulih setelah dibenarkan pulang ke rumah semalam. Dalam pada menerima ujian, Allah itu Maha Adil dan Pemurah. Dia berikan aku bantuan yang mana aku sendiri pun tak terjangkakan. Tak perlulah aku kongsikan apa nikmat-nikmat yang aku terima. Cukuplah sekadar kalian mengetahui bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Just keep your faith.

Cukuplah sampai di sini nukilan pendek dari aku. Hingga berjumpa lagi. =)

Wassalam.









Thursday, May 15, 2014

Masih Di Sini

Bismillahirrahmanirrahim.

Entri pertama aku untuk tahun 2014. Berkali-kali mulut berkata tak mahu meneruskan lagi penulisan blog. Tapi sesekali datang juga keinginan berkongsi sesuatu di ruang maya ini. Malas aku nak bercerita tentang betapa bersawangnya laman ini.

Menghampiri pertengahan tahun 2014, akhirnya aku kongsikan kembali sedikit cerita hidup yang sedang aku lalui. Masih lagi berteman lagu Bryan Adams ini, telinga aku tak pernah jemu sesekali mendengarnya kembali. Jadi biarlah ia kekal di situ buat peneman aku dan juga kalian yang masih sudi menjengah laman berfalsafah habuk aku ini. Ya aku tahu masih ada yang sudi. Tak ramai, namun individu yang terbilang dek jari ini lah yang selalu mengajak aku untuk terus menulis sesuatu di sini. Nah, entri ini untuk kalian. Sekadar entri kosong yang ingin mengatakan bahawa aku masih di sini.

2014, tahun di mana aku tamat pengajian ijazah sarjana muda. Tiada lagi tugasan, kelas, peperiksaan dan program-program yang pernah menjadi kegilaan sewaktu di universiti. Lebih dari empat tahun. Satu jangka masa yang cukup panjang di mana rasa tak sabar untuk menamatkan pengajian sentiasa membelenggu. Hari ini, aku bergelar graduan yang menanti berlangsungnya hari graduasi. Ya, aku masih lagi menganggur, teraba-raba dalam gelap mencari ruang untuk aku memulakan perjalanan hidup dalam satu fasa yang baru.

Banyak yang aku tinggalkan dan cuba untuk tinggalkan. Bukan mudah untuk "move on". Perkara yang aku kira sangat payah untuk dilakukan dalam hidup ini. Ada satu ketika aku berjaya tinggalkan jauh di belakang untuk suatu jangka masa yang agak panjang. Tapi siapa sangka, aku berhenti dan membiarkan ianya kembali mendapatkan aku untuk terus mencipta memori. Benar, yang pahit itulah yang cuba kita tinggalkan. Tapi tak semua yang pahit itu bermula dengan pahit. Kalau tidak, masakan kita mencuba rasa betul kan? Hari ini, sekali lagi aku cuba melangkah pergi. Cuba meninggalkan jauh rasa itu. Niat aku nak buka lembaran baru.

Aku masih berharap dan terus berharap. Dan aku masih di sini menanti.


Ibarat terbang lelayang
Teraju pula disambar helang
Ibarat mengejar bebayang
Mentari pula semakin hilang